Program pembangunan ekonomi komuniti

 
LAMAN
UTAMA home
SENARAI PRODUK gallery
PAKEJ
DISEDIA package
MENGINAP
DI SINI
package
HUBUNGI
KAMI
package

 

Bandar Muar adalah Bandar utama Johor yang tidak pesat sehingga digelar ‘Bandar Pencen’. Secara amnya, bandar ini sesuai untuk mereka yang mencari kedamaian. Geografinya terletak di 2°3′N 102°34′E barat laut  negeri Johor. Muar juga dikenali sebagai Bandar Maharani, yang juga merupakan sebuah Bandar yang padat dengan kisah sejarah yang melakar pelbagai peristiwa.
Daerah Muar terdiri daripada bandar Muar itu sendiri (lebih dikenali dengan nama Bandar Maharani) dan Pagoh. Muar bersempadan dengan daerah Tangkak di utara, daerah Segamat di timur dan daerah Batu Pahat di selatan. Daerah Muar berkeluasan 2346.12 km persegi dengan penduduk seramai 328,695 orang (bancian 2000).

NAMA ASAL MUAR

TELUK DALAM - Hikayat Malim Dewa-dewa Deman:
Muar dahulunya dikenali sebagai Teluk Dalam berdasarkan ayat di dalam Hikayat Malim Dewa-dewa Deman. Teluk Dalam ini mungkin berasal dari keadaan sungai Muar yang berkualakan satu muara atau teluk yang terbuka luas.

MUARA - Bahasa Melayu Sunda:
Nama Muar dikatakan ringkasan bagi MUARA di dalam bahasa Melayu Sunda yang bermaksud "kuala sungai yang membuka atau meneluk luas"

MUAK - Rupabentuk Sungai:
Muar bermaksud satu rupabentuk bagi perkataan "muak" maksudnya jemu berkayuh dalam sungai yang begitu besar dan berbelit-belit
MUAR atau MUNAR - Bahasa Hindu:
Muar ialah ringkasan daripada Bahasa Hindu "Munu" yang bermaksud Tiga dan "Ar" yang bermaksud "Sungai". Nama Muar berpunca dari nama sebuah negeri besar di Selatan India pada zaman purba yang dinamakan Muar atau Munar ('Negeri Tiga Sungai' kerana negeri ini terdiri daripada tiga batang sungai penting yang bercantum menjadi satu). Apabila orang-orang Hindu purba itu datang ke negeri ini untuk mencari emas, mereka menjumpai tiga batang sungai yang bercantum iaitu Sungai Muar, Sungai Serting dan Sungai Pahang seperti Sungai Muar atau Munar di negeri mereka. Lantas mereka menamakan sungai ini sebagai Muar bersempena nama Muar atau Munar di India

PERISTIWA PENTING
 Dipercayai sejarah Muar telah bermula lebih awal daripada Empayar Melaka. Pada tahun 1361, terdapat catatan yang menyatakan Muar adalah sebahagian daripada wilayah empayar Majapahit. Catatan lain pula ada menyebut bahawa Parameswara, pengasas empayar Melaka, pernah menubuhkan penempatan di Pagoh, Ulu Muar selepas melarikan diri dari Temasik sebelum menuju ke Melaka. Antara peristiwa penting yang membentuk sejarah di Muar ialah :

1. Saksi Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka
Sungai Muar pernah menjadi saksi kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis pimpinan Alfonso D’Albuquere pada tahun 24 Ogos 1511. Di sungai inilah angkatan Sultan Mahmud Shah mengundur diri daripada serangan Portugis. Baginda membina kubu pertahanan di bentayan (kini tapak kubu itu dijadikan Stesen Bas Ekspress Bentayan dan teksi) tetapi pihak portugis berjaya mengesnnya. Baginda dan pengikutnya melarikan diri ke Kota Biawak Busuk dan seterusnya ke Kota Pagoh.


2.  Perasmian Bandar maharani
Bandar Maharani Muar Moden telah dibuka oleh Muhammad Salleh bin Perang atau lebih dikenali sebagai Datuk Bentara Luar pada tahun 1885. Ia dirasmikan oleh baginsa Maharaja Abu Bakar pada tahun 1887 dengan upacara menanam ‘azimat’ di Tangga Batu (sekarang menjadi restoran makanan laut Muara yang terletak di tebing sungai Muar iaitu di Perhentian Bas Muar). Bandar Muar diberi nama Bandar Maharani yang bermaksud Bandar Isteri Maharaja dan bandar ini berkembang pesat dengan adanya perlabuhan kecil di Kuala Muar. Ia merupakan ibu negeri negeri Muar (pada ketika itu Muar bertaraf negeri dibawah kerajaan Maharaja Sultan Abu Bakar)


3.  Pengisytiharaan Muar sebagai Bandar Diraja Johor
Pengisytiharan Muar sebagai Bandar Diraja dibuat oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Majlis Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1433 hijrah di Masjid Sultan Ibrahim, Muar.

BUDAYA
Muar mempunyai budaya yang tersendiri. Berbeza dari kebanyakan tempat, makanan di Muar sering dipuji kerana rasa yang enak dan dari resipi asal turun temurun serta cara menikmatinya yang berbeza. Kebanyakan pelancong tidak akan melepaskan peluang untuk menikmatan hidangan dari Muar terutamanya hidangan di waktu pagi yang jauh dari norma.
Antara hidangan yang popular diwaktu pagi ialah sate yang terdiri dari sate ayam, daging dan perut. Hidangan lain yang mampu menggiurkan dipagi hari ialah Mi Bandung Muar, Soto, Mi Rebus dan otak-otak beserta Kopi 434 yang juga merupakan trademark Muar.


1.  Sate Muar
Ianya terdiri daripada ayam, daging, perut dang pelbagai lagi jenis daging yang ditusuk dengan lidi dan diperam dengan rempah ratus dan dibakar atas bara api. Sate dikatakan adalah adaptasi daripada kebab India yang di bawa masuk oleh pedagang Islam. Perkataan sate berasal daripada Min Nan, sa tae bak yang bermaksud tiga ketul daging. Sate yang siap dibakar kemudian dimakan dengan mencicah kuah kacang juga dihidangkan potongan timun untuk tujuan mencuci sisterm penghadaman.

2.  Mi Bandung Muar
Ia adalah masakan tradisi di Muar yang sangat popular di kalangan pelancong dan warga tempatan sendiri. Mi bandung di beri nama adalah kerana ianya campuran daripada dua atau lebih bahan iaitu mi dan telur. Kuahnya terdiri dari campuran cili, bawang, rempah ratus, pes udang dan udang kering. Kemudian resepi ini dibaik pulih dengan sayur-sayuran yang sesuai dan tidak mengubah rasa.


3.  Soto
Soto adalah kombinasi dari nasi impit, daging ayam yang dicarik beserta kuah sup. Antara yang menaikkan lagi rasa soto ini adalah kacang tanah, begedil dan soohon goring. Hidangan ini kebisaannya di makan dengan sambal kicap bagi mereka yang gemarkan pedas. Hidangan ini dikatakan berasal daripada puak Jawa di Indonesia.


4.  Mi Rebus
Mi Rebus atau nama lainnya mi kuah (di sesetengah tempat) adalah hidangan yang terdiri dari mi kuning dan kuah seakan kuah kari yang manis yang mengandungi udang kering, bawang, kacang tanah dan keledek. Hidangan ini kemudian dihias dengan telur rebus, tauhu goreng dan sayur sawi.

 

6. Kopi 434
Kopi yang menjadi trademark Muar ini di beri nama ‘434’ oleh pengasasnya Kiar Am Sai atau Ah Sai yang dipetik dari tiga digit nombor telefonnya pada tahun 1960-an. Oleh kerana ianya adalah nombor bertuah lalu dia mengabadikannya sebagai jenama kopinya. Ah Sai berumur 17 tahun ketika dia tiba di Malaysia dari Pulau Hainan di China dan membawa resepi kopi tradisinya itu. Sehingga sekarang Kopi 434 masih terkenal dengan rasa dan aromanya dikalangan pelbagai kaum.

 

KESAN-KESAN SEJARAH
Berikutan daripada lakaran sejarah di Muar suatu ketika dahulu, ia memberi kesan kepada landskap bandar Muar. Antara kesan yang tinggal di tanah Muar ialah:


1.  kubu bentayan
Bentayan merupakan sebuah kubu yang dibina oleh Sultan Mahmud iaitu Sultan Melaka yang terakhir bagi menahan asakan armada laut Portugis pada tahun 1511 yang mana akhirnya tewas dan berundur ke Pagoh. Kini kubu Bentayan hanya tinggal papan tanda dan menjadi Hentian Bas Ekspress.


2.  Fortaleza De Muar
Godinho De Eredia, pelayar berbangsa Portugis dan Bugis pernah mencatatkan dalam tulisannya mengenai perjalanan beliau melalui Sungai Muar bahawa beliau telah singgah bermalam beberapa hari di Kota Portugis atau dikenali ketika itu sengan nama Fortaleza De Muar yang berbentuk tiga penjuru di Kuala Sungai Muarpada tahun 1604. Ramai mengandaikan bahawa Fortaleza De Muar ini terletak di Kubu Bantayan. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan.

 

3.  Masjid Jamek Sultan Ibrahim
Masjid Jamek yang terletak berhampiran Tanjung Emas ini siap dibina pada tahun 1930. Pembinaan masjid ini adalah daripada ikhsan Kerajaan Johor dan Khairat Ahli Negeri Johor Darul Ta’zim. 

Masjid Jamek Muar adalah merupakan nama pertama yang diberikan sempena pembuatan masjid dan meupakan masjid yang tertua di Daerah Muar ini. Pembinaan ini ditaja pada tarikh 21 Rejab 1343 Hijriyyah bersamaan 15 Februari 1925 Masihi. Senibina masjid ini telah dilukis oleh “pelukis” Johor pada masa itu iaitu En. Sulaiman Bin Hj. Ilyas. Pembinaan tersebut diketuai oleh Mejar Al-Haj Muhammad Said Bin Hj. Sulaiman.

Masjid Jamek Muar ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Ismail (Tengku Mahkota Johor), Yang Berhormat Dato’ Mustapha (Menteri Besar Johor) pada hari Jumaat, jam 11 pagi pada 29 Ramadhan 1347 Hijriyyah bersamaan 28 Februari 1930 Masihi.

Masjid ini telah dirasmikan dan dibuka kepada umum sempena 35 tahun penaklukan dan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Ibrahim (Sultan Yang Dipertuan Johor), dan juga kepada Yang Amat Mulia Tengku Ahmad selaku Pesuruhjaya Kerajaan Daerah Muar, serta kepada Yang Berhormat Engku Ali Bin Abdullah selaku Yang Dipertuan Agama Johor.

 

4.  Muar State Railway
Muar merupakan jajahan terbesar dan terpenting yang pertama dimajukan di negeri Johor. Daerah Parit Jawa pula merupakan daerah terpenting bagi Muar dimana penduduknya mengusahakan tanaman gambir, kelapa dan pinang pada abad ke sembilan belas.
Perjalanan dari Parit Jawa ke Bandar Muar pada waktu itu amatlah sukar. Perjalanan laut terpaksa menghadapi serangan dari lanun-lanun, sementara perjalanan darat pula tiada kenderaan dan jalan yang ada pula buruk keadaannya.
Melalui rundingan, satu persetujuan telah dicapai dimana pembinaan keretapi akan dimulakan pada awal tahun 1889 dengan tujuan memberi kemudahan kepada penduduk di Selatan Bandar Muar dan memudahkan kepada para pelajar sekolah berulangalik ke sekolah Inggeris di bandar Muar secara percuma.
Bentuk keretapi ini adalah seperti keretapi yang terdapat pada masa ini. Hanya terdapat sedikit perbezaan. Enjinnya menggunakan kayu arang dan tempat duduknya pula disusun berhadap-hadapan. Terdapat 8 buah gerabak. Lima daripadanya untuk penumpang dan tiga gerabak di belakang untuk pengangkutan barang.
Bahagian penumpang terdapat kelas pertama, kedua dan ketiga yang sentiasa penuh sesak. Setiap penumpang dikenakan bayaran sebanyak lima sen sebatu.
Pembukaan jalan raya "Jalan Abd. Rahman" yang menghubungkan Bandar Maharani Muar dengan Parit Jawa menghentikan terus perkhidmatan keretapi ini pada 1925.

 

JETI TANJUNG EMAS

Jeti Tanjung Emas yang terletak berdekatan dengan kuala Sungai Muar, Dataran Tanjung Emas dan Kelab Marina Muar. Ia juga merupakan salah satu lokasi pelancongan yang dirasmikan pada 13 Ogos 2002 dan bertanggungjawab membawa pelancong bersiar-siar melihat keindahan Sungai Muar melalui khidmat bot yang disediakan

 


Pemasaran produk dari para petani dan nelayan oleh:

Koperasi iMuara Muar Berhad 
16A Jalan Sejahtera 1, Taman Seri Temenggong, Jalan Temenggong Ahmad, Muar, Johor.